09 October, 2012

Insurans Hayat

Apabila bertanya kepada pemegang polisi insurans tentang mengapa mereka membeli insurans, jawapan yang sering diterima ialah; “Saya membelinya kerana hendak membantu kawan saya yang juga seorang agen insurans” ataupun “Saya rasa saya mesti mempunyai insurans kerana ramai orang lain mempunyai insurans” atau “Kerana saya malas melayan agen yang sering menelefon saya setiap hari” dan sebagainya.

Ini adalah senario dan kenyataan yang terjadi di Malaysia sekarang. Adakah ini salah ataupun benar? Walau bagaimanapun, semua orang berhak untuk mempunyai pandangan mereka sendiri terhadap insurans dan apa yang insurans dapat lakukan kepada mereka. Sekarang ini, insurans dicarum untuk sebab yang salah seperti yang tersebut di atas tadi. Pada hakikatnya, mencarum insurans bukan merupakan satu kesilapan tetapi kesilapan yang paling besar adalah tidak memiliki satu insurans pun. Dan ini benar apabila kita melihat kerajaan kita mula memperkenalkan Skim Anuiti, Skim Kesihatan dan memberi pelepasan cukai bagi yang memiliki insurans pendidikan dan insurans hayat.

Sekarang, tanyalah diri kita sendiri; apakah aset kita yang terpenting sekali dalam hidup kita? Jawapan bagi soalan ini selalunya adalah rumah saya, kereta saya, perniagaan saya dan pelaburan saya dan sebagainya. Namun, ramai yang tidak sedar akan kebolehan diri untuk mendapatkan sumber pendapatan. 

Cuba bayangkan apa yang akan terjadi jika seseorang itu kehilangan keupayaan untuk mendapatkan sumber pendapatan. Pendapatan mungkin terhenti tetapi tidak dengan perbelanjaan. Malahan dalam kebanyakan kes, perbelanjaan akan meningkat jika seseorang itu hilang keupayaan untuk mencari sumber pendapatan. Pada masa itu, siapakah yang akan menjelaskan bayaran ansuran rumah dan kereta, perbelanjaan keluarga, kos pendidikan anak-anak, bil-bil elektrik dan sebagainya. 

Kebanyakan orang membeli insurans untuk kereta, rumah, barang berharga yang lain tetapi tidak sedar akan kepentingan di atas keupayaan mereka untuk mendapatkan sumber pendapatan. Tanpa keupayaan tersebut, anda mungkin tidak akan memiliki rumah, kereta atau pun kehidupan yang mewah. Namun, kenapa tiada sesiapa pun yang melakukan sesuatu mengenainya.

Ramai yang beranggapan bahawa mereka membazirkan wang mereka untuk mencarum di dalam insurans hayat. Pada pendapat saya, mereka sebenarnya hanya memindahkan wang mereka dari bank ke syarikat insurans dengan perjanjian bahawa jika sesuatu bencana berlaku, syarikat insurans akan bertanggungjawab untuk menggantikan sumber pendapatan yang hilang. Oleh itu, kita tidak membeli insurans hayat tetapi membeli faedah-faedah yang mampu diberikan oleh syarikat insurans kepada kita. Yang paling penting sekali ialah insurans hayat boleh menggantikan keupayaan untuk mendapatkan sumber pendapatan. Dengan pendapatan, kita mampu memiliki rumah, kereta, membiayai pendidikan anak-anak serta memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarga kita. 

Dalam hidup ini, tiada sesiapapun yang berani mengatakan bahawa tiada bencana yang akan berlaku kepada mereka dalam tempoh 10 atau 20 tahun yang akan datang kerana sesungguhnya Qada’ dan Qadar adalah ditentukan oleh Allah. Oleh itu, kita terdedah kepada risiko kehilangan keupayaan untuk mendapatkan sumber pendapatan pada setiap masa. 

Walaupun kita tidak boleh lari daripada risiko ini, namun kita masih boleh berusaha untuk mengurangkan bencana yang akan menimpa kita dengan cara mengagihkan risiko tersebut kepada syarikat insurans pada caruman yang minima dan caruman tersebut akan dikembalikan pada satu masa nanti jika tiada apa-apa yang berlaku. Jika kita memilih untuk menghadapi risiko tersebut seorang diri, maka kos yang akan ditanggung adalah amat besar. 
Kesimpulan yang dapat dibuat adalah: 
  1. Kita bukan membeli insurans, tetapi membeli perkhidmatan yang ditawarkan.
  2. Aset yang paling penting adalah keupayaan untuk mendapatkan sumber pendapatan.
  3. Tanpa keupayaan ini, kualiti kehidupan yang dirasai tidak akan kekal.
  4. Oleh itu, anda mesti menjaga aset yang terpenting iaitu; ANDA SENDIRI.
Oleh itu, jangan lupa bertanya kepada agen anda akan faedah insurans hayat dan apa yang ia dapat lakukan untuk anda dan orang yang tersayang. Pastikan juga anda mendapat khidmat daripada agen yang bertauliah dan berdaftar dengan syarikat insurans pilihan anda untuk mengelakkan daripada sebarang kekeliruan. Pilihlah produk yang sesuai dan menepati keperluan anda supaya ia dapat memberi manfaat yang optimum kepada anda dan keluarga anda. 
Sumber Dari : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna

No comments:

Post a Comment